• Taman Wetland




    Taman Wetland yang terletak di Presint 13 dibangunkan selaras dengan matlamat untuk mengekalkan kehijauan serta mewujudkan ‘Green Lung’ di dalam pembangunan Putrajaya. Berkeluasan 335.75 ekar, Taman Wetland menyediakan pelbagai kemudahan yang menjadi tarikan kepada pengunjung dan sesuai untuk pelbagai aktiviti seperti aktiviti perkhemahan, Hari Keluarga, eksplorasi alam dan sebagainya.

    Taman ini dikelilingi tanah lembab yang merupakan wetland binaan air tawar terbesar di kawasan Tropika dan menjadi habitat kepada pelbagai spesies flora dan fauna. Wetland terdiri daripada dua komponen iaitu sebuah tasik terbuka dan 24 siri sel wetland.  Sel wetland ini ditanam dengan pelbagai spesies tumbuhan rawang seperti Rumput Kercut dan Rumput Gedabong yang berfungsi sebagai penapis semulajadi bagi air yang mengalir masuk dari Sungai Chuah, Sungai Bisa dan tiga batang anak sungai lain ke dalam Tasik Putrajaya.

    Pengekalan sumber air bersih di Taman Wetland penting bagi kelestarian fauna dan mewujudkan persekitaran mesra habitat yang kaya dengan sumber nutrien.

    Keindahan dan kehijauan Taman Wetland telah Berjaya menarik minat burung-burung penghijrah untuk datang ke sini. Sejumlah lebih 59 spesis burung penghijrah dan 200 spesis burung tempatan berkembang biak di Taman Wetland sepanjang tahun.

    Pengunjung boleh melakukan aktiviti beriadah sambil menikmati keindahan flora dan fauna di taman ini.