Bandar Hijau Karbon Rendah Putrajaya

Pelancaran Dasar Teknologi Hijau Negara pada 24 Julai 2009 oleh Kerajaan Malaysia telah membuka lembaran baru dalam usaha Malaysia untuk menangani isu alam sekitar yang melibatkan perubahan iklimdan isu penggunaan tenaga melalui aplikasi dan pembangunan teknologi hijau yang dapat mengurangkan ‘carbon footprint’ Malaysia di samping mempertingkatkan kemapanan alam sekitar. Dasar tersebut telah turut menggariskan 5 objektif utama, di mana objektif keempat adalah “untuk memastikan pembangunan mapan dan memulihara alam sekitar untuk generasi akan datang”.

Dasar Teknologi Hijau Negara merangkumi unsur ekonomi, alam sekitar dan sosial seperti yang digariskan oleh Lima (5) objektif seperti berikut:

  • Untuk menyelaraskan pertumbuhan industri teknologi Hijau dan meningkatkan sumbangan Teknologi Hijau terhadap ekonomi negara;
  • Untuk membantu pertumbuhan dalam industry teknologi hijau dan meningkatkan sumbangan kepada ekonomi Negara;
  • Untuk meningkatkan keupayaan bagi inovasi dalam pembangunan teknologi hijau dan meningkatkan daya saing dalam teknologi hijau di persada antarabangsa;
  • Untuk memastikan pembangunan mampan dan memulihara alam sekitar untuk generasi akan datang; dan
  • Untuk meningkatkan pendidikan dan kesedaran awam terhadap teknologi hijau dan menggalakkan penggunaan meluas teknologi hijau.

Lanjutan daripada itu, Perdana Menteri Malaysia dalam ucapannya semasa pembentangan Belanjawan Malaysia 2010 pada 23 Oktober 2009, telah mengumumkan untuk “menjadikan Putrajaya dan Cyberjaya sebagai bandar Teknologi Hijau yang menjadi pelopor kepada pembangunan bandar lain” sebagai salah satu langkah untuk menggalakkan pembangunan aktiviti teknologi hijau di Malaysia.

Pada 20 November 2009, Jemaah Menteri telah meluluskan Dasar Perubahan Iklim Negara yang telah menggariskan sepuluh teras strategik dan 43 tindakan utama ke arah menangani fenomena perubahan iklim ke arah pencapaian matlamat pembangunan mampan negara.

“Dasar Perubahan Iklim Negara ini telah dihasilkan ini berperanan sebagai rangka kerja untuk menggerakkan serta memberikan panduan kepada agensi kerajaan, industri, komuniti serta pihak berkepentingan dalam menghadapi cabaran perubahan iklim secara holistik. Dasar ini akan membantu mengenal pasti tindakan secara bersepadu yang perlu diambil bagi mencapai matlamat pembangunan lestari.”

Kata Aluan YAB Dato’ Sri Mohd Najib Bin Tun Abd Razak, Perdana Menteri Malaysia dalam Dasar Perubahan Iklim Negara, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar Malaysia, 20 November 2009

Di samping itu, semasa persidangan COP15 di Copenhagen pada 17 Disember 2009, Malaysia telah membuat komitmen bagi mengurangkan pelepasan karbon sehingga 40% daripada intensiti keluaran dalam negara kasar (KDNK) menjelang 2020 berbanding tahap 2005.

“I would also like to announce here in Copenhagen that Malaysia is adopting an indicator of a voluntary reduction of up to 40% in terms of emissions intensity of GDP by the year 2020 compared to 2005 levels. This indicator is conditional on receiving the transfer of technology and finance of adequate and effective levels from our Annex 1 partners, that correspond to what is required in order to achieve this indicator.”

Ucapan YAB Dato’ Sri Mohd Najib Bin Tun Abd Razak, Perdana Menteri Malaysia di U.N. CLIMATE CHANGE CONFERENCE 2009 – “15TH CONFERENCE OF PARTIES (COP 15)” 17 Disember 2009 

Bagi mencapai hasrat Kerajaan, Perbadanan Putrajaya telah memutuskan untuk membentuk satu pelan tindakan bandar hijau bagi Putrajaya. Sebagai langkah pertama, Perbadanan Putrajaya telah menganjurkan Persidangan Antarabangsa ‘Green Cities’ selama 2 hari pada 23

hingga 24 Februari 2010. Persidangan ini merupakan satu platform untuk Perbadanan Putrajaya belajar, memahami dan menimba pengalaman dari negara-negara lain yang telah melaksana program-program bandar hijau. Ia juga telah membantu PPj mengenal pasti hala tuju, konsep

dan definisi ‘Bandar Hijau’ yang dihasratkan dalam pembangunan Putrajaya.

Pada 26 sehingga 27 April 2010 Landskap Malaysia dengan kerjasama Perbadanan Putrajaya dan Universiti Pertanian Malaysia telah menganjurkan Malaysian Green Forum (MGF) yang telah dirasmikan oleh Perdana Menteri Malaysia. Ianya telah dihadiri oleh pegawai-pegawai tertinggi kerajaan, ketua-ketua industri dan badan bukan kerajaan serta pihak berkepentingan yang lain bertujuan untuk mendalami isu-isu berkaitan alam persekitaran semula jadi dan alam bina di Malaysia serta komitmen  Malaysia dalam mempertingkatkan alam persekitaran di peringkat nasional dan wilayah di samping merangka resolusi dan memperbaharui komitmen untuk menangani isu-isu berkaitan dengan lebih komprehensif dan holistik.

“Environmental sustainability can only fully materialize if there is a complete and holistic ecosystem that allows for it. The government is aware of this fact and has taken this approach in gearing the nation towards this aim. I have identified six major components of this ecosystem and together they form the acronym AFFIRM . They are Awareness, Faculty, Finance, Infrastructure, Research, Development and Commercialization; and Marketing”

Ucapan YAB Dato’ Sri Mohd Najib Bin Tun Abd Razak, 

Perdana Menteri Malaysia

“Malaysian Green Forum (MGF)”, di Dewan Persidangan Seri SiantanPerbadanan Putrajaya, 26 April 2010.


Definasi Bandar Hijau Putrajaya

“Bandar Hijau” ditafsirkan sebagai sebuah bandar yang dirancang dengan prinsip bandar mampan, mempunyai program-program dan inisiatif-inisiatif bagi memelihara alam sekitar dan sumber sumber semula jadi dengan tujuan untuk mengurangkan kesan negatif aktiviti manusia ke atas alam sekitar.  

Aspek-aspek lain yang sering dikaitkan dengan konsep bandar hijau adalah pengurusan sumber jaya boleh diperbaharui dan tidak boleh diperbaharui (renewable and non-renewable resources), pengurusan sisa pepejal dan pengurangan tahap gas rumah hijau (green house gas-GHG) seperti karbon dioksida (carbon dioxide-CO2) kesan dari pelbagai aktiviti manusia.


Sasaran Bandar Hijau Putrajaya

Merujuk kepada tafsiran di atas,adalah jelas bahawa status Bandar Hijau yang ingin dicapai di Putrajaya tidak terhad kepada ‘kehijauan’ berbentuk fizikal sahajaIa juga merangkumi tiga sasaran utama seperti berikut:

  1. Meminimumkan impak negatif kepada alam sekitar dan penggunaan sumber jaya;

  2. Menggalakkan hubungan semula manusia dengan alam semula jadi;

  3. Mengurangkan pelepasan karbon dari pelbagai aktiviti manusia.

Science to Action (S2A) 

Selaras dengan pendekatan Science to Action (S2A) yang diterapkan oleh pihak Perbadanan, dalam POLISI 5 dalam Rancangan Struktur Putrajaya 2025 telah mengenalpasti hala tuju utama yang menyokong kepada transformasi ini.  Antaranya adalah:

 

  1. Mempertingkatkan kualiti ekologi, badan air dan biodiversiti

  2. Aplikasi teknologi amalan hijau di dalam aktiviti perancangan dan pengurusan bandar.

  3. Mempraktik amalan bangunan mampan.

  4. Menjadi perintis komuniti hijau dengan itizam mengurangkan kesan karbon.


Inventori Tahap Pelepasan Gas Rumah Hijau Putrajaya 2018

Di samping itu, Perbadanan juga mula menjalankan inventori pelepasan gas rumah hijau (GHG) di Putrajaya sejak 2012 sebagai langkah pengukuran pencapaian inisiatif bandar hijau yang telah dijalankan.  Bagi tahun 2018, jumlah pelepasan karbon adalah 1,575ktCO2eq berbanding tahun 2017 iaitu 1,530ktCO2eq. Ini menunjukkan peningkatan sebanyak 3.2 peratus.  Senario ii berkait rapat dengan pertambahan keluasan lantai yang siap dibina sebanyak 4.07% pada tahun 2018.  Walau bagaimanapun, pelepasan intensiti per keluasan lantai (tCO2/m2) masih dapat dikekalkan pada paras 0.0115tCO2/m2.  Inventori tersebut merangkumi tiga sektor utama iaitu bangunan, pengangkutan (darat) dan sisa pepejal.  Sektor bangunan merupakan penyumbang GHG utama iaitu melebihi 60% daripada jumlah pelepasan GHG.