• Sistem Hawa Dingin Presint 1 Putrajaya Dijangka Pulih Esok

    Share

    PUTRAJAYA: Sistem penyejukan penghawa dingin di kompleks pejabat kerajaan, pusat beli-belah dan pusat komuniti sekitar Presint 1, di sini dilaporkan bocor sejak petang semalam selepas terkena mesin pengorek lubang.

    Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, kontraktor yang dilantik Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk penyambungan kabel berkapasiti tinggi dari Presint 1 ke Presint 12, di sini, dipercayai tidak menyedari kewujudan paip berkenaan.

    Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Tan Sri Aseh Che Mat, ketika ditemui berkata, gangguan berkenaan dijangka dapat dipulihkan menjelang pagi esok.

    Beliau berkata, kejadian berpunca daripada kebocoran saluran bekalan penyejuk udara di Loji Air Pendingin, Presint 1 yang berfungsi membekalkan gas penghawa dingin ke kawasan di sekitarnya.

    "Antara kawasan terbabit adalah kompleks pejabat kerajaan di Parcel A, B, C, D, E serta beberapa premis sekitarnya, termasuk pusat beli-belah Alamanda.

    "Ketika ini, kerja baik pulih sedang giat dijalankan dan kita berharap ia dapat diselesaikan secepat mungkin.

    "Semua premis yang terjejas sudah dimaklumkan mengenai kejadian berkenaan dan kita akan cuba yang terbaik untuk memulihkannya dalam masa terdekat," katanya ketika ditemui sebentar tadi.

    Aseh berkata, urusan pejabat kerajaan masih berjalan seperti biasa apabila sistem penghawa dingin masih berfungsi namun kurang sejuk.

    Antara jabatan kerajaan yang terbabit ialah Pejabat Perdana Menteri, Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Kesihatan, Jabatan Perkhidmatan Awam, Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).