• Taman Putra Perdana




    Taman Putra Perdana terletak di lingkaran Persiaran Sultan Salahuddin Abd Aziz Shah (PSSAS) di Presint 1. Berkeluasan 154 ekar, pembinaannya dimulai dengan upacara pecah tanah dan pembinaan mercu tanda baharu bagi negara pada 29 Ogos 1995. Taman ini merupakan ikonik sebagai simbol Putrajaya kerana di sinilah titik permulaan perubahan Prang Besar iaitu dari sebuah ladang sawit kepada pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan.

    Terdapat sebuah Kapsul Masa yang menyimpan dokumen penting dan sejarah pembinaan Putrajaya tertanam di taman ini. Di sini juga terletaknya monumen Mercu Tanda Putrajaya berbentuk piramid dengan lambang bulan dan bintang yang menggambarkan keagungan bangsa Melayu.

    Terdapat dua buah bangunan ikonik Putrajaya di taman ini iaitu Istana Melawati dan Hotel Pulse Grande Putrajaya. Istana Melawati telah direka oleh YM Raja Kamarul Bahrin sebagai simbolik penyerahan Prang Besar kepada Kerajaan Persekutuan oleh Kerajaan Negeri Selangor. Istana ini adalah simbol kedaulatan raja-raja Melayu.

    Beberapa batu Megalith yang ditemui pada tahun 1989 di Kampung Gelanggang, Negeri Sembilan telah diletakkan di taman ini dan dinamakan Laman Megalith. Sebahagian besar batu-batu Megalith atau lebih dikenali sebagai batu hidup, dipercayai berasal dari zaman Neolitik, zaman Mesolitik dan zaman Gangsa.

    Selain daripada tarikan bersejarah, Taman Putra Perdana juga mempunyai Pelantar Pemandangan yang menyajikan pemandangan indah.

    Taman yang menonjolkan kehijauan landskap dengan dihiasi pelbagai spesis bunga-bungaan ini diperkasakan lagi dengan sudut kelestarian sejarah. Kemudahan rekreasi yang ada seperti siar pejalan kaki direka dengan begitu rapi demi keselesaan pengunjung yang inginkan suasana tenang dan damai.