Inisiatif Kesihatan Persekitaran
Insektarium Nyamuk BerWolbachia Putrajaya
Objektif utama pembinaan Makmal Insektarium Nyamuk berWolbachia Putrajaya di Presint 20 adalah sebagai inisiatif Perbadanan Putrajaya dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur & Putrajaya (JKWPKLP) dalam usaha mengawal penyebaran penyakit bawaan vektor, khususnya demam denggi, melalui pendekatan mesra alam dan inovatif.
Fungsi makmal ini adalah untuk membiak dan mengawal kualiti nyamuk Aedes yang telah diintroduksi atau disuntik dengan bakteria Wolbachia dalam persekitaran terkawal bagi tujuan kajian, latihan, serta pelepasan di lapangan untuk mengurangkan penyebaran penyakit seperti denggi, chikungunya, dan zika.
Projek ini adalah susulan daripada kejayaan pelepasan nyamuk Aedes berWolbachia di Presint 14 pada tahun 2020, yang menjadi inspirasi kepada pelaksanaan strategi kawalan denggi secara lebih meluas di Putrajaya.
Makmal ini dijangka memberi impak langsung terhadap keberkesanan program kawalan penyakit bawaan vektor di Putrajaya, termasuk:
- Meningkatkan keberkesanan program kawalan vektor di peringkat komuniti.
- Mengurangkan insiden penyakit bawaan nyamuk melalui intervensi berasaskan bukti (evidence-based intervention).
- Mewujudkan sumber rujukan saintifik tempatan untuk kajian vektor.
Penubuhan insektarium ini turut mengambil pendekatan yang telah dilaksanakan di makmal insektarium lain di Malaysia, khususnya di Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), Kuala Lumpur dan Insektarium Nyamuk berWolbachia di Johor Bahru.