• Press Release

    Flowering five years

    Share
    News

    KAEDAH penjagaannya tidak sukar dan sama seperti pokok orkid lain namun untuk melihat ia berbunga, perlu menunggu malah ada yang mengambil masa sehingga lima tahun.

    Bagaimanapun apabila tiba waktunya, kecantikan bunga tumbuhan liar iaitu orkid harimau dikatakan hanya dapat dinikmati kira-kira sebulan lebih sebelum ia gugur dan menunggu untuk berbunga kembali.

    Keunikan pokok orkid harimau menghiasi landskap Taman Botani Putrajaya, Presint 1, Putrajaya kini mekar berbunga dan boleh dilihat orang ramai yang mengunjungi taman berkenaan.

    Jurucakap Taman Botani Putrajaya berkata, spesis berkenaan ditanam di suatu tempat di taman awam itu sejak 18 tahun lalu dan kali terakhir ia berbunga pada 2016.

    Katanya, orkid harimau itu dilihat mula berbunga awal bulan ini dan masih ada lagi pokok yang belum mengeluarkan kelopak bunga sepenuhnya.

    “Pokok orkid harimau dikatakan berbunga lima tahun sekali tetapi kadangkala tidak tentu juga.

    “Ada juga berbunga selepas dua tahun dan ada juga peminat bunga yang menanamnya tetapi langsung tidak berbunga.

    “Uniknya orkid ini kerana saiznya besar berbeza dengan pokok orkid lain malah penjagaannya mudah kerana keperluan cahaya mataharinya tidaklah secara terus dan perlu sedikit redup,” katanya ditemui di Taman Botani Putrajaya hari ini.

    Difahamkan batang orkid harimau boleh membesar sehingga tiga meter manakala daunnya boleh mencecah 60 sentimeter panjang dan tiga sentimeter lebar.

    Pengunjung, Azmah Azhari, 32, yang beriadah di taman itu bersama suami, Mukmin Rusli, 32, serta dua anaknya berkata, dia pertama kali melihat pokok orkid harimau.

    “Kebiasaannya pada hari minggu, kami sekeluarga beriadah di taman dan selepas melihat bunga ini, suami memaklumkan ada terbaca menerusi Facebook Perbadanan Putrajaya (PPj).

    “Suami beritahu ia berbunga lima tahun sekali dan kami bertuah berpeluang melihat bunga orkid harimau ini,” katanya.