• Kompleks Perbadanan Putrajaya


    Kompleks Perbadanan Putrajaya

    Kompleks ini merupakan salah satu bangunan mercu tanda di sepanjang Persiaran Perdana. Di sebelah baratnya terletak Masjid Besar dan di sebelah timur merentasi Persiaran Perdana terletaknya Istana Kehakiman.

    Direka bentuk sebagai kompleks yang mempunyai ruang-ruang bersaling kait yang mencerminkan kewujudannya yang berbeza di Presint 3, bangunan ini adalah tafsiran kontemporari bagi seni bina tradisional Islam. Ciri utamanya ialah Pintu Masuk atau Gerbang dengan ruang pemandangan awam di tingkat paling atas yang memberikan pemandangan yang menakjubkan termasuklah Istana Kehakiman dan Masjid Besar. Pintu masuk ini juga memberikan sudut pandangan semasa perarakan.

    Bangunan utama terdiri daripada empat bahagian yang diintegrasikan dengan laman di sepanjang Persiaran Perdana, arked yang terbuka digabungkan menjadi sebuah lanskap Laluan Qiblat (Qiblat Walk). Di sudut Laluan Qiblat, terdapat bilik-bilik mesyuarat yang seolah-olah terapung memberikan pemandangan yang menakjubkan. Terdapat sebuah taman tergantung yang menghiasi puncak atas galeri memberikan pandangan semula jadi daripada Dataran ke barat bangunan melalui kawasan tepian air.

    Kemudahan untuk persidangan dan Auditorium yang direka bentuk sebagai kompleks bangunan saiz sederhana yang dihubungkan dengan laluan pejalan kaki dan ruang jualan butik di tingkat bawah setiap komponen. Bahagian depan bangunan Persiaran Perdana adalah jaringan skrin geometri yang kompleks dan menarik memberikan perlindungan daripada matahari.